Bersahur Cara Rasulullah S.A.W..  

Posted by: Eisyaa

Bismillahirrahmaanirrahiim..
Assalammualaikum wbt..




Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923)

Maksud keberkatan itu ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, keberkatan sahur itu diperoleh melalui amalan mengikuti sunah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat serta menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar.

Selain itu, ia menjadi sebab untuk orang yang berpuasa bersedekah kepada orang lain, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur. (Rujuk al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 120)

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadat puasa orang Islam dengan ibadat puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah s.a.w.: Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 643)

Ibadat sahur adalah ibadat yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.

Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664)

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit. (Riwayat Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1919)

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu sehingga azan Subuh sedang dilaungkan.

Firman Allah s.w.t.: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (al-Baqarah: 187)

Adalah disunahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a. berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1920)

Kadi Iyadh r.h. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil daripada Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 114)

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat Subuh dikumandangkan.

Menurut Anas r.a., Zaid bin Thabit r.a. berkata, Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: “Berapa lama antara azan dan sahur?” Baginda menjawab: Kira-kira (membaca) lima puluh ayat. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1921)

Hadis ini digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah 10 minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak boleh lagi makan dan minum.

Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. langsung mendirikan solat Subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w. memulakan dan mengakhirkan sahur Baginda.

Antara hikmah mengakhirkan atau melewatkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk bersahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan bersahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat berasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Untuk maklumat lanjut sila layari.http://sisipanramadhan.blogspot.com/

This entry was posted on 3:32 PM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment

Desa fm.org



Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Second Birthday tickers

Grapes Nasyid