Tazkirah : Makna Air Mata Insan  

Posted by: Eisyaa

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalammualaikum..

PERNAHKAH anda menangis?

Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?


Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.

Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan.

Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi.

Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti! Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

  • Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.

  • Menangis kerana rasa takut.

  • Menangis kerana cinta.

  • Menangis kerana gembira.

  • Menangis kerana menghadapi penderitaan.

  • Menangis kerana terlalu sedih.

  • Menangis kerana terasa hina dan lemah.

  • Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

  • Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

  • Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

    Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.

    Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka.

    Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

    Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

    Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:

  • Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.

  • Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.

  • Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

    Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

    Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud: “Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.

  • Apabila dahinya berpeluh.

  • Air matanya berlinang.

  • Hidungnya keluar cecair.

    Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t.

    Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

  • Sahabat sekalian ini dipetik dari keratan akhbar untuk tatapan bersama..moga kita mendapat ilmu yang berguna..insyaAllah..(^_^)
  • Wuduk Pembersih Zahir & Batin...  

    Posted by: Eisyaa

    Bismillahirrahmanirrahim..
    Assalammualaikum..


    SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.

    Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik.


    Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.

    Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik.

    Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga. Kenapa?

    Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty).

    Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat.

    Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk." Ini satu jaminan kecantikan yang abadi.

    'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk.

    Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.

    Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan.

    Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu.

    Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja. Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya.

    Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan.

    Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya keikhlasan.

    Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat. Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor.

    Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan.

    Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan. Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya.

    Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan.

    Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.


    Sahabat sekalian ini dipetik dari keratan akhbar untuk tatapan bersama..moga kita mendapat ilmu yang berguna..insyaAllah..(^_^)

    Desa fm.org



    Daisypath Anniversary tickers
    Lilypie Second Birthday tickers

    Grapes Nasyid