Jadikan Allah 'Majikan Tertinggi'.....  

Posted by: Eisyaa


Bismillahirrahmaanirrahiim..
Assalammualaikum wbt..


"Lalalala..Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja..."

Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein ini. Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah 'goyang kaki'. Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat, melangkah ke tempat kerja. Mulut pula mula mengomel, "kalau tak kerja, macam mana la nak hidup..". Inikah makna sebenar kerja pada kita?

Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita. Pertanyaan yang wajib kita dengar saat semakin membesar, "dah besar nanti anak mama nak jadi apa?". Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk menjadi seperti apa apabila dewasa nanti. Tanpa diketahui maksud sebenarnya, lantang saja kita menjawab, "nak jadi cikgu!". Kini, tak disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.

Niat Pemangkin Semangat

Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha. Justeru, walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, "nak hidup punya pasal..".

Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti. Seperti mana kita menyebut berulang kali Surah al-An'am ayat 162 di dalam solat,

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam".

Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi. Kerja harus dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta istiqamah. Sabda Rasul SAW,

"Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang." (Hadis riwayat Abu Ya'la)

Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan 'gaji buta' dan 'curi tulang' pasti dapat dielakkan. Ada yang berkata, masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.


Jujur dan Istiqamah

Kadang-kala timbul masalah tidak 'sekepala' dengan rakan-rakan sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena. Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh 'ngam' dengan semua orang disekeliling kita.

Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan. Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama menangani situasi ini. Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang, mulalah merangka surat perletakkan jawatan!

Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak 'mengulat' selama satu minit sahaja.

Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan melihat, jadi tidak apalah.

Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak suka pada majikan. Jadikanlah Allah sebagai 'majikan' tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas.

Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,

"Maka apabila telah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya." (al-Jumu'ah: 10)

Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

---->>Sahabat sekalian ini dipetik dari artikel iluvislam.com untuk tatapan bersama..moga kita mendapat ilmu yang berguna..insyaAllah..(^_^)

Panduan Menyambut Aidilfitri Cara Sunnah..(",)  

Posted by: Eisyaa

Bismillahirrahmaanirrahiim..
Assalammualaikum wbt..

Meraikan Aidilfitri waktu kanak-kanak memang meriah. Tapi takkan nak meraikan hari raya dengan cara yang sama bila umur kita makin meningkat. Betulkah cara kita menyambut hari lebaran selama ini? Mari kita lihat tatacara yang betul sempena menyambut hari raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba nanti.

Antara perkara yang baik dilakukan adalah:

1. Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah.

2. Pada pagi hari raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

3. Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

4. Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat hari raya.

5. Menunaikan sembahyang sunat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbah raya.

6. Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain.

7. Aidilfitri adalah suatu ibadat oleh itu jangan dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkannya seperti berfoya-foya, berpeleseran tanpa tujuan, menonton wayang, berpasang-pasangan dengan yang bukan muhrim, bergaul bebas lelaki dan wanita bukan muhrim dan sebagainya


Semoga raya kali ini lebih baik dari tahun yang sudah-sudah ya! Sebar-sebarkanlah! Selamat menyambut hari raya Aidilfitri 1433 Hijrah!


Bersahur Cara Rasulullah S.A.W..  

Posted by: Eisyaa

Bismillahirrahmaanirrahiim..
Assalammualaikum wbt..




Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923)

Maksud keberkatan itu ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, keberkatan sahur itu diperoleh melalui amalan mengikuti sunah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat serta menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar.

Selain itu, ia menjadi sebab untuk orang yang berpuasa bersedekah kepada orang lain, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur. (Rujuk al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 120)

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadat puasa orang Islam dengan ibadat puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah s.a.w.: Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 643)

Ibadat sahur adalah ibadat yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.

Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664)

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit. (Riwayat Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1919)

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu sehingga azan Subuh sedang dilaungkan.

Firman Allah s.w.t.: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (al-Baqarah: 187)

Adalah disunahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a. berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1920)

Kadi Iyadh r.h. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil daripada Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 114)

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat Subuh dikumandangkan.

Menurut Anas r.a., Zaid bin Thabit r.a. berkata, Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: “Berapa lama antara azan dan sahur?” Baginda menjawab: Kira-kira (membaca) lima puluh ayat. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1921)

Hadis ini digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah 10 minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak boleh lagi makan dan minum.

Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. langsung mendirikan solat Subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w. memulakan dan mengakhirkan sahur Baginda.

Antara hikmah mengakhirkan atau melewatkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk bersahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan bersahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat berasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Untuk maklumat lanjut sila layari.http://sisipanramadhan.blogspot.com/

Desa fm.org



Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Second Birthday tickers

Grapes Nasyid